Assalamualaikum dan
selamat sejahtera….
Pada hari ini, saya
telah menolong penasihat Persatuan Bahasa Melayu dalam persidangan mesyuarat meja bulat yang
diadakan di perpustakaan universiti saya. Saya bersama-sama tiga orang
rakan yang lain diminta untuk menjaga bahagian pendaftaran dan makanan.
Namun, saya telah
terlewat tiba di perpustakaan disebabkan terlepas untuk menaiki bas pada pukul
9.00 pagi. Setelah saya tiba di perpustakaan, saya telah berjumpa dengan
penasihat Persatuan Bahasa Melayu untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang
tugas saya. Saya berkenalan dengan tiga orang lain iaitu pelajar Bahasa Melayu
daripada semester empat. Saya ditugaskan untuk bersama seorang lagi rakan untuk
menjaga bahagian pendaftaran. Untuk menjaga bahagian pendaftaran tidaklah mudah
seperti yang disangka. Hal ini kerana persidangan yang dihadiri oleh
orang-orang penting dan orang yang berpendidikan menyebabkan saya dan rakan
lain sentiasa menjaga pertuturan dan menjaga bahasa kami. Panggilan yang betul
hendaklah digunakan dan bahasa yang sopan khususnya. Persidangan itu bermula
pada pukul 10.30 pagi yang dihadiri oleh guru, pegawai kementerian, pensyarah-pensyarah dan lain-lain lagi yang sentiasa memperjuangkan bahasa Melayu.
Semasa sedang menjaga
bahagian pendaftaran tersebut, tiba-tiba datang seorang pelajar perempuan
berjalan kearah meja pendaftaran tersebut. Pelajar perempuan tersebut yang
menyoal tanpa salam mengejutkan saya. Pelajar tersebut berkata dengan saya,
“apa ni?”. Saya pun menjawab dengan senyuman dan berkata, “di dalam ni ada
mesyuarat.” Pelajar tersebut pun berlalu setelah saya berkata begitu. Saya
kehairanan melihat perlakuannya. Dengan nada dan intonasi yang mendatar dan
bertanya seperti pegawai atasan menyebabkan saya berfikir seketika.
Sepatutnya, pelajar
tersebut memberi salam terlebih dahulu sebelum bertanya kepada orang lain.
Bukan itu sahaja, pelajar tersebut hendaklah bertanya dengan lebih mesra
bukannya menggunakan intonasi yang menyebabkan orang lain tersalah faham akan
tindakannya. Orang lain yang mengalami situasi tersebut akan beranggapan bahawa
pelajar tersebut tidak ada adab terhadap orang lain dan lebih teruk lagi
melabelkan pelajar universiti tidak mempunyai sopan-santun semasa berkomunikasi. Hal
ini kerana hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
No comments:
Post a Comment