Assalamualaikum dan selamat sejahtera…
Pada kali ini saya terbaca keratan akhbar tentang kerancuan
bahasa. Sememangnya kerancuan bahasa pada masa ini memang tidak boleh di ambil
ringan lagi. Hal ini melibatkan kedudukan bahasa Melayu yang semakin terancam
disebabkan pengguna bahasa itu sendiri iaitu masyarakat kita khasnya. Mengikut Kamus Dewan Edisi
Keempat, kata rancu bermaksud tidak teratur, campur aduk,
kacau(bahasa). Kata kerancuan bermaksud keadaan rancu, tidak teratur. Kerancuan bahasa
bermaksud keadaan penggunaan bahasa yang tidak teratur, mencampuradukkan bahasa,
iaitu bahasa Melayu dengan bahasa lain.
Dalam akhbar tersebut, kerancuan bahasa semakin kerap berlaku
terutamanya dalam rancangan-rancangan hiburan di televisyen seperti rancangan
Raja Lawak di Astro. Terdapat benyak penyalahgunaan bahasa yang digunakan oleh
para peserta rancangan tersebut. Walaupun kita ketahui rancangan tersebut hanya
berbentuk hiburan semata-mata tetapi rancangan tersebut boleh mempengaruhi
pemikiran penonton dan seterusnya mencontohi cara penggunaan bahasa peserta
dalam rancangan tersebut. Misalnya, terdapat peserta yang menggunakan
peribahasa yang salah dan menukarkannya dengan perkataan lain. Bukan itu
sahaja, salah seorang peserta tersebut juga menggunakan perkataan “I’m sorry” walaupun tidak bertepatan
dengan apa yang dilakukannya.
Kerancuan bahasa yang berlaku ini sangat memberi
kesan kepada pengguna bahasa. Mengapa tidak kita wujudkan lebih banyak
rancangan seperti Osman Baku di TV2? Rancangan tersebut juga berbentuk komedi
tetapi dalam masa yang sama rancangan tersebut mengajar penonton untuk lebih
menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris. Tidak salah untuk kita
belajar dan menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian kita tetapi
gunakanlah bahasa tersebut dengan betul. Misalnya, rancangan “Oh, My English!” merupakan rancangan
Astro yang turut mengajar kita menggunakan bahasa Inggeris dengan baik dan
betul. Namun, majoriti daripada kita suka mencampuradukkan bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian. Jangan rosakkan bahasa sendiri jika sekadar untuk hiburan semata-mata. Ambillah peluang dalam rancangan tersebut untuk memperbetulkan bahasa dan meningkatkan penggunaannya agar masyarakat boleh mencontohinya.
No comments:
Post a Comment