Friday 5 April 2013

“SAYA SUKA MENONTON TELEVISYEN CIKGU”


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada hari ini saya akan mencoretkan tentang pengajaran mikro yang telah dilakukan oleh rakan saya. Pada hari ini, rakan saya telah menerangkan tentang kata kerja. Semasa proses pengajaran berlangsung, rakan saya yang bertindak sebagai guru telah meminta pelajar untuk membina ayat daripada perkataan “menonton”. “Saya menonton televisyen cikgu”, jawab rakan saya yang lain. Setelah itu, pensyarah saya memberi komentar tentang ayat yang dibina oleh rakan saya itu dan dalam realiti juga para pelajar suka menyambung perkataan yang tidak penting di penghujung ayat mereka.

Ayat yang dibina oleh rakan saya itu sekiranya diteliti boleh membawa dua maksud sekiranya menggunakan intonasi yang berbeza. Contohnya:

(1) “Saya suka menonton televisyen cikgu”.
(2) “Saya suka menonton televisyen, cikgu”.

Pada ayat pertama, pelajar menyatakan bahawa dia suka menonton televisyen kepunyaan cikgunya manakala ayat kedua pula pelajar menyatakan bahawa dia suka menonton televisyen kepada cikgunya. Hal ini menunjukkan bahawa intonasi memainkan peranan penting semasa pengucapan ayat. Hal ini kerana sesuatu ayat itu dilafazkan dengan pelbagai cara. Cara sesuatu lafaz itu dapat dipelbagaikan sehingga maklumat yang hendak disampaikan turut berubah.

Bukan itu sahaja, bahasa badan juga penting dalam memperjelaskan sesuatu maklumat yang hendak disampaikan. Sekiranya intonasi yang digunakan kedengaran begitu mengalu-alukan, namun mimik muka tidak selari dengan lafaz intonasi, maka pasti maklumat yang akan sampai ke dalam otak bertentangan dengan yang seharusnya dan otak akan memproses maklumat sebagai yang sebaliknya.

Oleh hal yang demikian, penutur bahasa hendaklah menggunakan intonasi serta bahasa badan yang betul supaya orang yang menterjemah maklumat yang kita sampaikan dapat diterjemahkan dengan betul dan tepat.

No comments:

Post a Comment