Saturday 30 March 2013

KATA GANTI NAMA DIRI KETIGA, BELIAU


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada hari ini, saya akan membincangkan pula kata ganti nama diri yang setiap hari digunakan oleh pengguna bahasa. Seperti yang telah kita ketahui kata ganti nama terdiri daripada kata ganti nama diri pertama, kedua dan ketiga. Beliau tergolong dalam kata ganti nama diri orang ketiga. Namun, penggunaan kata ganti nama diri, beliau juga boleh membawa maksud lain dalam dialek Sabah. Contohnya:

Dialek Sabah   : “Beliaumu ke mana?”
Bahasa Baku   : “Ayahmu ke mana?”

Dalam ayat di atas, beliau menurut percakapan orang Sabah merujuk kepada ayah atau bapa. Hal ini berbeza dengan bahasa baku iaitu beliau digunakan sebagai kata ganti nama diri orang ketiga. Contohnya:

Nama Dato’ Paduka Ahmad Kadi mungkin agak asing bagi pencinta bahasa Melayu di Malaysia. Namun begitu, nama beliau sebenarnya tidak asing bagi mereka yang mengikuti perkembangan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Contoh ayat di atas menunjukkan secara jelas bahawa beliau digunakan kepada orang kita hormati dan digunakan dalam konteks rasmi. Namun, terdapat juga pengguna bahasa yang menggunakan beliau untuk orang yang tidak dihormati atau untuk binatang. Contohnya:

1. *Beliau ditangkap kerana mengedarkan dadah.
      Dia ditangkap kerana mengedarkan dadah.
2. *Budak itu berusia tujuh tahun. Beliau sudah pandai membaca.
      Budak itu berusia tujuh tahun. Dia sudah pandai membaca.

MEMPER- ATAU MEMPER-...-KAN


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Coretan pada kali ini saya akan membincangkan penggunaan imbuhan yang betul yang bukan sahaja pelajar sekolah keliru dengan penggunaannya malah terdapat juga pelajar di peringkat tinggi masih belum boleh membezakan penggunaannya. Kita sering kali terdengar orang berkata:

“Kita akan memperbesarkan lagi kedai makanan keluarga kita”.
“Emak bercadang untuk memperbesarkan lagi bilik kamu”.

Namun, secara tidak sedar kita telah melakukan kesalahan penggunaan awalan rangkap memper- dalam pertuturan atau komunikasi kita sehari-hari. Malah terdapat juga orang Melayu yang melakukan kesalahan tersebut walaupun mereka penutur natif bahasa Melayu. Contohnya:

SALAH
BETUL
memperlebarkan jalan
memperlebar jalan
memperbesarkan bilik
memperbesar bilik
memperindahkan kelas
memperindah kelas
memperluaskan lorong
memperluas lorong


Contoh di atas merupakan penggunaan imbuhan memper- dengan kata adjektif. Namun, imbuhan memper-..-kan hanya digunakan untuk membentuk kata kerja terbitan daripada kata dasar yang terdiri daripada kata nama dan kata kerja seperti memperbudakkan, menganaktirikan, mempersendakan dan lain-lain lagi.

Friday 29 March 2013

ANTARA REALITI DAN TRADISI


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Hari ini saya terserempak dengan sahabat saya semasa dalam perjalanan ke kampus. Perkataan pertama yang diucapkan oleh kawan saya itu ialah “hai”. Saya juga menjawab semula dengan perkataan “hai” kepada kawan saya itu. Namun selepas pertemuan singkat itu, tiba-tiba saya terfikir tentang pengucapan perkataan tersebut yang semakin meluas dalam kalangan remaja. Para remaja kini lebih suka mengucapkan “hai” atau “hello” daripada ucapan “assalamualaikum”.

Itulah realitinya yang kita boleh lihat sekarang dan menjadi ikutan dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah. Walhal dengan mengucapkan “assalamualaikum” bukan sahaja mendapat pahala tetapi juga kita dapat menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W. Bukan itu sahaja, kita juga sentiasa mendoakan rakan kita yang lain semasa mengucapkan “assalamualaikum” kerana maksud salam tersebut ialah “selamat sejahtera bagimu”. Banyak hadis yang menyatakan kebaikan menggunakan perkataan “assalamualaikum”. Contohnya:





Walaupun kita mengetahui hakikat tersebut, namun kita tidak terlepas untuk mengucapkan juga perkataan “hai” atau “hello” yang menjadi amalan orang Barat. Mungkin kerana pemikiran kita yang terlampau mengagumi mereka sehingga kita terlupa amalan dan tradisi kita yang sentiasa diamalkan oleh masyarakat terdahulu. Sepatutnya, kita hendaklah sentiasa menjunjung budaya dan tetap mengamalkan amalan kita yang menjadi tradisi sejak masyarakat Melayu dahulu lagi. 

HUKUM D-M


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Hari ini saya telah pergi ke stesen minyak untuk mengisi minyak kereta dan membeli makanan ringan di kedai yang terdapat di stesen minyak tersebut. Setelah masuk ke dalam kereta saya terpandang papan tanda kedai tersebut yang tertulis Mini Mesra. Mini Mesra? Saya sebagai pelajar bahasa Melayu sudah semestinya tahu bahawa penggunaan nama kedai tersebut tidak mematuhi peraturan hukum D-M.

D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur yang menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Contohnya:

Frasa Nama
Diterangkan (D)
Menerangkan (M)
jentera
pendingin
serbuk
perasa
lampu
gas


Oleh itu, penggunaan susunan unsur-unsur frasa nama yang bertentangan dengan peraturan D-M adalah salah dan tidak dapat diterima seperti Mini Mesra, Aminah Restoran, Koh Klinik dan lain-lain lagi. Namun, terdapat kekecualian dalam hukum D-M iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan akibat kebiasaan dalam penggunaan terutamanya pada nama-nama jawatan. Contohnya:

Frasa Nama
Penerang (M)
Yang diterangkan (D)
perdana
menteri
ibu
pejabat
pembantu
penyelidik

PANTUN DAHULU DAN KINI


Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Hari ini saya akan berkongsi dengan anda tentang pantun yang semakin hilang ciri-cirinya. Mengapa saya berkata sedemikian? Hal ini kerana pantun Melayu dahulu jika dibandingkan dengan pantun Melayu sekarang mengalami perubahan yang ketara seiring dengan perubahan zaman.

Lazimnya, pantun menggunakan bahasa yang halus penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam. Pantun mengandungi maksud isi yang sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup. Selain itu, pantun juga mempunyai ciri-ciri tradisional iaitu penggunaan rangkap, pembayang dan maksud, mempunyai nilai hidup masyarakat yang membayangkan perspektif masyarakat yang melahir dan menggunakannya. Namun, hampir keseluruhan ciri-ciri pantun Melayu tersebut terhakis seiring dengan perubahan zaman. Hal ini kerana masyarakat sekarang terutamanya remaja mencipta pantun mengikut laras mereka seperti memasukkan bahasa slanga dalam pantun yang diciptakan oleh mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga menggunakan bahasa rojak dan dialek daerah dalam mencipta pantun. Contohnya:





Penggunaan pantun seperti di atas hendaklah dielakkan dan sepatutnya para remaja berusaha untuk mencipta pantun Melayu seperti dahulu yang penuh dengan keindahan bahasa dan mempunyai maksud tersirat di samping mempunyai unsur pengajaran dan moral. Contohnya:






Saturday 23 March 2013

BAHASA SLANGA


Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Bahasa slanga merupakan kata-kata (ungkapan dsb.) yang tidak tergolong dalam bahasa baku (biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi). Lazimnya, bahasa slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok social tertentu untuk berkomunikasi di antara mereka dan hanya difahami oleh kelompok berkenaan. Hal ini berbeza dengan bahasa kolokial. Bahasa kolokial merupakan bahasa yang bersifat bahasa percakapan atau bahasa basahan. Antara contoh ayat yang menggunakan bahasa slanga adalah seperti berikut:

“Aku nk usha awek tu la.”
“Tibai jela jawapan dier!
“Ha, kantoi! Ko buat ape td ha...?Igt aku xnmpk ke..
“Dak tu lampi. Ko kne ckp ngn dier slow2.”
“Pecer ko skg?”

Penggunaan perkataan seperti usha (pandang), tibai (pukul atau main hentam), kantoi (pecah rahsia atau teruk), lampi (lembap), pecer (apa cerita) dan lain-lain lagi seperti sudah menjadi kelaziman bagi para remaja. Kita akan terdengar penggunaan bahasa slanga di mana-mana sahaja kita berada. Kadang kala kita juga akan terikut-ikut penggunaan bahasa slanga dalm pertuturan seharian kita disebabkan pengaruh persekitaran dan komunikasi dalam kalangan rakan-rakan kita.

Bahasa slanga yang sering digunakan ini menyebabkan kedaulatan bahasa terjejas. Hal ini kerana akan berlaku bahasa slanga yang bukan sahaja dalam percakapan tetapi juga terdapat dalam penulisan khusunya para pelajar. Penggunaan bahasa slanga dalam penulisan buku atau karya menjejaskan kedaulatan bahasa.



JAWAPAN ATAU JAWABAN


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada hari ini, saya telah menghubungi kawan rapat saya untuk bertanya khabar dan berbual tentang hal-hal lain. Tiba-tiba, dia bertanya tentang jawapan atau jawaban. Dia keliru tentang penggunaannya dan langsung bertanya tentang perkara tersebut kepada saya memandangkan saya belajar dalam program pendidikan Bahasa Melayu di universiti. Sebenarnya, kawan saya telah lama bertanyakan perkara tersebut tetapi saya selalu lupa untuk memberikannya jawapan.

Pelajar sering kali keliru dengan penggunaan jawapan atau jawaban. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, kedua-dua penggunaan jawapan dan jawaban adalah betul dan boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari aspek morfologi manakala jawapan pula diterima pakai kerana sudah menjadi kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat pula menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab.

Dari aspek pengejaan perkataan jawapan dan jawaban juga betul. Hal ini kerana kedua-dua perkataan tersebut mengalami proses pengimbuhan iaitu kata dasar jawab ditambah dengan akhiran -an menghasilkan perkataan jawaban. Namun, kita sering kali menyebut jawapan dalam pertuturan seharian.

BAHASA SMS


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada pagi ini saya telah menerima satu mesej daripada kawan saya yang ingin mengadakan perjumpaan untuk berbincang tentang tugasan. Mesej itu adalah seperti berikut:

Kawan : Salam. Ari nie kite bncang sal tugasan sosio nk??
Saya    : Wslm.. bley jew.
Kawan : K. Nt kite jmpe kat libry kul 10.
Saya    : K.

Tanpa kita sedari, kita telah menggunakan bahasa SMS setiap hari dalam kehidupan seharian. Mengapa hal ini terjadi? Lazimnya, kita menggunakan bahasa SMS untuk menjimatkan penggunaan dalam ruang mesej tersebut dan seterusnya dapat menjimatkan kos penghantaran mesej. Namun, kadang kala kita akan terbawa penulisan bahasa SMS tersebut dalam penulisan. Hal ini amat membimbangkan terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah. Mereka lebih cenderung menggunakan bahasa SMS semasa menulis karangan atau latihan secara sengaja atau tidak sengaja.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Khidmat Pesanan Ringkas atau lebih dikenali dengan SMS (short message service) merupakan satu khidmat yang begitu popular dalam kalangan telefon bimbit di negara kita. SMS telah dilancarkan secara komersial di Malaysia untuk kali pertamanya pada tahun 1995. Bahasa SMS ialah bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi secara tulisan melalui saluran SMS, dan bahasa yang lazim yang digunakan ialah bahasa yang tidak baku atau bahasa basahan.

Bahasa SMS ini secara leksikalnya melibatkan percampuran bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa daerah atau dialek. Selain itu, singkatan atau gabungan kata juga turut digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam bahasa SMS seperti leh join (boleh bergabung), yg cute (yang comel), sume (semua), jer (sahaja) dan pastu (selepas itu). Huruf, angka dan simbol juga turut digunakan dalam bahasa SMS seperti U (awak), I (saya), 4 (untuk), 2 (itu) dan @ (atau).

Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan satu kajian lanjutan terhadap singkatan SMS dan seterusnya telah menerbitkan risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu. Oleh itu, diharap risalah ini dapat dijadikan panduan dalam penulisan SMS yang standard khususnya untuk SMS yang digunakan dalam situasi atau urusan rasmi. Pembacaan lanjut terdapat dalam laman web yang berikut:

www.dbp.gov.my/khidmatsms.pdf


Wednesday 20 March 2013

KESOPANAN DALAM BERBAHASA


Assalamualaikum dan selamat sejahtera….

Pada hari ini, saya telah menolong penasihat Persatuan Bahasa Melayu dalam persidangan mesyuarat meja bulat yang diadakan di perpustakaan universiti saya. Saya bersama-sama tiga orang rakan yang lain diminta untuk menjaga bahagian pendaftaran dan makanan.

Namun, saya telah terlewat tiba di perpustakaan disebabkan terlepas untuk menaiki bas pada pukul 9.00 pagi. Setelah saya tiba di perpustakaan, saya telah berjumpa dengan penasihat Persatuan Bahasa Melayu untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang tugas saya. Saya berkenalan dengan tiga orang lain iaitu pelajar Bahasa Melayu daripada semester empat. Saya ditugaskan untuk bersama seorang lagi rakan untuk menjaga bahagian pendaftaran. Untuk menjaga bahagian pendaftaran tidaklah mudah seperti yang disangka. Hal ini kerana persidangan yang dihadiri oleh orang-orang penting dan orang yang berpendidikan menyebabkan saya dan rakan lain sentiasa menjaga pertuturan dan menjaga bahasa kami. Panggilan yang betul hendaklah digunakan dan bahasa yang sopan khususnya. Persidangan itu bermula pada pukul 10.30 pagi yang dihadiri oleh guru, pegawai kementerian, pensyarah-pensyarah dan lain-lain lagi yang sentiasa memperjuangkan bahasa Melayu.

Semasa sedang menjaga bahagian pendaftaran tersebut, tiba-tiba datang seorang pelajar perempuan berjalan kearah meja pendaftaran tersebut. Pelajar perempuan tersebut yang menyoal tanpa salam mengejutkan saya. Pelajar tersebut berkata dengan saya, “apa ni?”. Saya pun menjawab dengan senyuman dan berkata, “di dalam ni ada mesyuarat.” Pelajar tersebut pun berlalu setelah saya berkata begitu. Saya kehairanan melihat perlakuannya. Dengan nada dan intonasi yang mendatar dan bertanya seperti pegawai atasan menyebabkan saya berfikir seketika.

Sepatutnya, pelajar tersebut memberi salam terlebih dahulu sebelum bertanya kepada orang lain. Bukan itu sahaja, pelajar tersebut hendaklah bertanya dengan lebih mesra bukannya menggunakan intonasi yang menyebabkan orang lain tersalah faham akan tindakannya. Orang lain yang mengalami situasi tersebut akan beranggapan bahawa pelajar tersebut tidak ada adab terhadap orang lain dan lebih teruk lagi melabelkan pelajar universiti tidak mempunyai sopan-santun semasa berkomunikasi. Hal ini kerana hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

PENGALAMAN ITU..


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada hari ahad yang lalu, saya telah pergi ke perpustakaan untuk menyiapkan tugasan saya dan mendapatkan sedikit maklumat untuk tugasan yang lain. Setelah hampir tiga jam saya berada di perpustakaan, saya pun pulang ke kolej. Namun, situasi yang tidak dijangka berlaku pada hari itu.

Semasa saya sedang menunggu bas, saya sempat membaca akhbar yang diedarkan secara percuma pada hari itu. Berita utama yang hendak saya baca tentulah berkaitan dengan isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu. Saya sentiasa mengikuti perkembangan isu tersebut memandangkan tempat kelahiran saya di Sabah dan sudah semestinya saya sentiasa risau tentang keselamatan keluarga saya di sana. Namun, semasa saya sedang asyik membelek akhbar tersebut tiba-tiba seorang pemuda bersuara dengan kuat sehingga menarik perhatian kami. Pemuda itu berkata, “maafkan saya. Ada tak di sini pelajar yang berasal daripada Sabah?” Kawan yang berada di sebelah saya terus mengangkat tangan dan mengatakan bahawa dia orang Sabah dan memperkenalkan saya dan seorang rakan lagi kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut terus memperkenalkan dirinya kepada kami dan mengucapkan terima kasih kepada pelajar lain kerana beliau sudah menjumpai pelajar dari Sabah. Pemuda tersebut merupakan seorang wartawan daripada akhbar terkenal. Dia pun menyatakan tujuannya kepada kami iaitu untuk menemu bual pelajar Sabah berkenaan dengan isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Wartawan tersebut telah mengambil gambar kami bertiga yang sedang membaca akhbar dan seterusnya menemu bual kami secara bergilir-gilir. Namun, saya tidak sempat ditemu bual oleh wartawan tersebut disebabkan bas yang telah tiba sebelum dia habis menemu bual kami. Walaupun agak kecewa tetapi saya gembira kerana mempunyai pengalaman tersebut. Walaupun hanya mendapatkan pandangan dan luahan perasaan tentang isu tersebut tetapi ianya merupakan pengalaman berharga bagi saya. Mungkin satu hari nanti, nama dan gambar saya akan terpampang di dada akhbar dan lebih dikenali oleh orang ramai untuk kejayaan yang luar biasa ataupun menjadi guru yang cemerlang. Kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjadi yang terbaik untuk kejayaan saya kelak.

Saturday 16 March 2013

SEBELUM BERGELAR GURU PRAKTIKAL


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada hari Jumaat yang lepas, saya telah menghadiri taklimat praktikum untuk semester hadapan. Taklimat tersebut diadakan adalah untuk pada pelajar semester enam yang bakal melakukan praktikal di sekolah.

Pada malam itu setelah zon dan nama sekolah diketahui, semua pelajar berebut-rebut untuk mengambil sekolah yang mereka kehendaki. Saya hanya berdiam diri kerana zon dan sekolah yang saya inginkan tidak terdapat dalam senarai yang dikemukakan oleh penyelaras kami. Saya berfikir dan hanya melihat rakan-rakan lain berebut-rebut memilih sekolah pilihan mereka. Akhirnya, saya telah memilih satu sekolah di Kuala Kangsar atas ajakan dan maklumat daripada rakan lain berkenaan dengan sekolah tersebut. Saya hanya redha dengan keputusan yang diambil dan berfikiran positif mengenainya. Saya boleh lakukan! Saya merasionalkan diri dengan berkata sedemikian dalam hati.

Pada malam itu juga, timbul perbalahan kecil di antara kami yang mengambil sekolah yang sama. Hal ini kerana setiap sekolah hanya menempatkan dua orang pelajar sahaja dan empat orang bagi sekolah-sekolah yang tertentu. Terdapat pelajar yang tidak mahu bertolak ansur  dengan pelajar lain dan bertegas untuk mendapatkan sekolah yang sama. Antara alasan pelajar tersebut adalah supaya mereka senang hendak pulang ke kampung apabila mereka berdua bersama-sama dalam sekolah yang sama.  

Pada pandangan saya, kita tidak semestinya akan bersama-sama dengan sahabat kita sehinggalah menjadi guru kelak. Kemungkinan kita akan dipisahkan semasa penempatan sebagai guru kelak di tempat yang berlainan. Kenapa tidak kita mengambil masa praktikal nanti untuk belajar berdikari? Pada masa inilah kita akan belajar menghadapi susah payah sebelummelangkah sebagai seorang guru di sekolah kelak.

MENGEJA KATA TERBITAN


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada hari ini saya ingin berkongsi tentang penggunaan imbuhan kepada anda. Hal ini kerana apabila saya membuka laman sosial iaitu facebook sebentar tadi masih ramai lagi yang kurang mengetahui  tentang penggunaan imbuhan dalam perkataan. Contohnya :




Dalam kata-kata di atas, terdapat kesalahan ejaan yang berlaku dalam perkataan kebaikkan dan keburukan. Perkataan tersebut sepatutnya dieja dengan menggunakan satu k sahaja iaitu kebaikan dan keburukan.

Hal ini kerana apa-apa sahaja perkataan yang berakhiran huruf k tetap mempunyai satu k apabila menerima apitan me-...-i dan ke-...-an.  Apabila sesuatu kata dasar, sama ada daripada golongan kata nama, kata kerja atau kata adjektif akan menjadi kata kerja terbitan apabila menerima apitan me-...-i. Misalnya kata nama raja menerbitkan kata kerja terbitan transitif apabila menerima apitan me-...-i (merajai), kata adjektif merah menjadi memerahi

Kata nama, kata kerja dan kata adjektif akan berubah menjadi kata nama terbitan apabila menerima apitan ke-...-an.  Misalnya, dengan apitan  ke-...-an, kata nama raja kekal sebagai kata nama (terbitan)kerajaan, kata kerja naik menjadi kata nama terbitan kenaikan, dan kata adjektif hebat membentuk kata nama terbitan kehebatan.

 Jika kata dasar itu berakhir dengan huruf  konsonan  k  (banyak, duduk, masuk, anak), maka kata dasar yang mengalami proses pengimbuhan itu tidak mungkin menghasilkan dua  huruf k, kerana huruf k kekal hadir dalam suku kata akhir tertutup kata dasar, manakala akhiran yang mengimbuhinya bukan apitan me-...-ki, dan bukan apitan ke-...-kan. Tidak ada apitan me-...ki dan apitan ke-...-kan dalam bahasa Melayu (Portal Pendidikan Utusan).

Friday 15 March 2013

DILARANG BISING!


Assalamulaikum dan selamat sejahtera..

Hari ini saya telah pergi ke perpustakaan untuk menyelesaikan tugasan saya yang diberi oleh pensyarah dan mencari maklumat tambahan untuk tugasan-tugasan lain. Seperti yng kita ketahui perpustakaan adalah kawasan senyap. Semua orang telah mengetahuinya termasuklah budak sekolah rendah sekalipun. Namun, apa yang berlaku pula sebaliknya. Semasa saya sedang duduk membaca buku, kedengaran suara-suara sumbang yang mengganggu pembacaan saya. Saya terlihat sekumpulan pelajar yang duduk berkumpulan sedang berbual dan bergelak ketawa dengan suara yang agak kuat sehinggakan mengganggu tumpuan pelajar lain yang berada di kawasan tersebut.

Pelajar yang bising tadi sememangnya sudah mengetahui peraturan perpustakaan untuk tidak berbuat bising. Namun, mereka tetap juga melakukannya. Adakah mereka tidak reti bahasa atau sengaja buat tak faham bahasa? Peraturan yang mudah tidak boleh diikuti apatah lagi peraturan yang berat. Padahal mereka juga merupakan pelajar universiti yang sememangnya mempunyai pemikiran dan sahsiah yang tinggi. Kenapa kita tidak tunjukkan pemikiran kita sebagai pelajar universiti seiring dengan tingkah laku kita yang bersahsiah tinggi  dan mempunyai nilai-nilai yang baik. 

[Dilarang bising!]

TEKNIK TIDAK MENEGUR KESALAHAN


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada kali ini saya ingin berkongsi cerita tentang blog yang ditulis oleh seorang cikgu yang juga merupakan rakan kepada pensyarah saya. Semasa kelas pada hari Isnin berlangsung, pensyarah saya secara tidak langsung memperkenalkan blog rakannya itu kepada saya dan rakan saya.

Setelah membaca blog itu, saya tertarik dengan perisian dan perkongsian yang ditulis oleh cikgu tersebut. Cikgu tersebut bukan sahaja menulis tentang pengalamannya mengajar pada hari persekolahan tetapi juga menceritakan bagaimana beliau mengaplikasikan teknik Nabi Muhammad S.A.W dalam mendidik pelajar beliau.  Antara salah satu teknik yang digunakan dalam mendidik pelajar ialah Teknik Pejam Mata kepada Kesalahan, tetapi Puji Kebaikan.

Dalam hadith ‘12 Malaikat, seorang lelaki itu melakukan perkara-perkara yang salah  dan juga perkara-perkara yang betul. Nabi Muhammad pura-pura tidak nampak kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu. Nabi Muhammad memuji senikata zikir ciptaan lelaki itu: “Sungguh, saya  nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”

Keadaan seperti ini sering kali  berlaku, di mana seseorang itu  melakukan perkara-perkara yang betul  tetapi pada waktu yang sama dia  juga ada melakukan kesalahan. Namun  lazimnya kita lebih mudah nampak  kesalahannya sahaja.

Dalam coretan cikgu tersebut, beliau menggunakan Teknik Tidak Menegur Kesalahan kepada pelajarnya. Cikgu tersebut juga memuji dan menyatakan kesannya kepada pelajar yang berkelakuan positif dan secara tidak langsung pelajar yang berkelakuan negatif mendapat motivasi dan memperbetulkan kesalahan mereka.


Saya sangat tertarik dengan penulisan cikgu tersebut yang sangat mengambil berat tentang pelajarnya. Walaupun mengajar pelajar yang nakal tetapi beliau mempunyai cara dan teknik yang betul mendidik mereka dengan menggunakan Teknik Nabi Muhammad S.A.W. Sekiranya ramai cikgu yang berkelakuan seperti Cikgu Kharulaniza Khairuddin ini, tidak mustahil masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar akan dapat dibendung disebabkan keprihatinan dan perhatian yang lebih kepada pelajar yang bermasalah.


Bahasa seseorang guru memainkan peranan penting dalam mendidik seseorang pelajar. Hal ini kerana sekiranya seorang guru sentiasa memotivasi dan berkata dengan kata-kata yang positif maka motivasi pelajar tersebut juga akan meningkat. Misalnya, jika guru memuji pelajar tersebut dengan berkata, "bagus, teruskan usaha kamu" atau "pandai, jawapan kamu tepat". Pelajar akan lebih bersemangat untuk datang ke sekolah dan belajar. Namun, sekiranya guru asyik menyalahkan mereka dan sentiasa mengeluarkan kata-kata negatif kepada ppelajar maka motivasi mereka akan turun dan mereka akan sentiasa melakukan kesalahan di sekolah. Oleh itu, bahasa yang digunakan oleh guru hendaklah bersesuaian dan mengandungi kata-kata positif supaya pelajar sentiasa bemotivasi untuk belajar.


Pembacaan lanjut blog : http://khairulaniza.blogspot.com

KERANCUAN BAHASA


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada kali ini saya terbaca keratan akhbar tentang kerancuan bahasa. Sememangnya kerancuan bahasa pada masa ini memang tidak boleh di ambil ringan lagi. Hal ini melibatkan kedudukan bahasa Melayu yang semakin terancam disebabkan pengguna bahasa itu sendiri iaitu masyarakat kita khasnya. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata rancu bermaksud tidak teratur, campur aduk, kacau(bahasa). Kata kerancuan bermaksud keadaan rancu, tidak teratur. Kerancuan  bahasa bermaksud keadaan penggunaan bahasa yang tidak teratur, mencampuradukkan bahasa, iaitu bahasa Melayu dengan bahasa lain. 

Dalam akhbar tersebut, kerancuan bahasa semakin kerap berlaku terutamanya dalam rancangan-rancangan hiburan di televisyen seperti rancangan Raja Lawak di Astro. Terdapat benyak penyalahgunaan bahasa yang digunakan oleh para peserta rancangan tersebut. Walaupun kita ketahui rancangan tersebut hanya berbentuk hiburan semata-mata tetapi rancangan tersebut boleh mempengaruhi pemikiran penonton dan seterusnya mencontohi cara penggunaan bahasa peserta dalam rancangan tersebut. Misalnya, terdapat peserta yang menggunakan peribahasa yang salah dan menukarkannya dengan perkataan lain. Bukan itu sahaja, salah seorang peserta tersebut juga menggunakan perkataan “I’m sorry” walaupun tidak bertepatan dengan apa yang dilakukannya.

Kerancuan bahasa yang berlaku ini sangat memberi kesan kepada pengguna bahasa. Mengapa tidak kita wujudkan lebih banyak rancangan seperti Osman Baku di TV2? Rancangan tersebut juga berbentuk komedi tetapi dalam masa yang sama rancangan tersebut mengajar penonton untuk lebih menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris. Tidak salah untuk kita belajar dan menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian kita tetapi gunakanlah bahasa tersebut dengan betul. Misalnya, rancangan “Oh, My English!” merupakan rancangan Astro yang turut mengajar kita menggunakan bahasa Inggeris dengan baik dan betul. Namun, majoriti daripada kita suka mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian. Jangan rosakkan bahasa sendiri jika sekadar untuk hiburan semata-mata. Ambillah peluang dalam rancangan tersebut untuk memperbetulkan bahasa dan meningkatkan penggunaannya agar masyarakat boleh mencontohinya.

Saturday 9 March 2013

NILAI YANG SEMAKIN HILANG


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Pada hari Sabtu lalu, saya dan rakan-rakan yang lain telah bergotong-royong di kawasan Rumah Rehat Tanjong Malim. Kewujudannya saya baharu sedari walaupun hampir tiga tahun saya berada di Tanjong Malim. Rumah Rehat tersebut telah digerakkan oleh persatuan bukan kerajaan (NGO) iaitu PRiSMA. Pertubuhan ini menjalankan aktiviti-aktiviti untuk ibu tunggal, warga emas dan lain-lain lagi. Kami telah ditugaskan untuk bergotong-royong membersihkan kawasan Taman Terapi di kawasan tersebut.

Satu aktiviti yang telah lama saya tidak lakukan. Aktiviti gotong-royong yang semakin hilang bukan sahaja dalam diri saya malah juga dalam kalangan masyarakat kita pada zaman moden ini. Perkembangan teknologi yang semakin canggih turut membawa perubahan pemikiran kita ke arah kemodenan. Lazimnya, masyarakat kita pada hari ini hanya menumpukan aktiviti kehidupan masing-masing. Saya akui bahawa kehidupan pelajar seperti saya juga turut terbawa dengan kehidupan moden tersebut sehinggakan tidak menghiraukan persekitaran sekeliling. Contohnya, walaupun kita duduk bersama rakan-rakan yang lain tetapi komunikasi tidak berlaku kerana sibuk dengan telefon bimbit masing-masing. Di sini kita boleh lihat bahawa kemodenan itu kadang-kadang membawa kita ke arah yang pasif. 

[Cuba mengaktifkan diri dengan aktiviti yang berfaedah.]

GELOMBANG K-POP


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Coretan saya pada kali ini berkisar tentang pembelajaran yang baharu sahaja kami pelajari dalam kelas Sosiolinguistik Melayu.  Semasa belajar cara penggunaan gelaran tersebut saya teringat rancangan-rancangan hiburan Korea yang selalu saya tonton.

Gelombang K-Pop seperti mana yang kita tahu sekarang sangat terkenal dan menjadi ikutan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain. Artis-artis Korea sentiasa menjadi ikutan para remaja yang mengikuti perkembangan semasa mereka. Saya tidak nafikan bahawa saya juga salah satu daripada peminat K-Pop yang sentiasa menonton dan melihat rancangan hiburan mereka yang sememangnya terkenal dengan lawak spontan daripada mereka. Namun, saya tidak hanya melihat gelombang K-Pop sebagai hiburan semata-mata tetapi juga melihat dari satu aspek yang lain iaitu melihat budaya mereka melalui rancangan hiburan mereka. Misalnya, penggunaan bahasa formal dan tidak formal serta gelaran dalam bahasa korea dan juga cara pemikiran mereka.

Dalam pemerhatian saya, masyarakat Korea ini sangat mementingkan gelaran dan juga penggunaan bahasa antara satu sama lain. Contohnya, mereka akan bercakap bahasa formal dengan orang yang baharu mereka kenali atau orang yang lebih tua daripada mereka seperti mana bahasa Melayu. Namun, jika kita melihat dengan teliti rancangan mereka yang berbentuk realiti kita akan mendapati bahawa mereka sentiasa menggunakan bahasa formal mereka walaupun berkomunikasi di antara satu sama lain dalam rancangan tersebut yang hanya berbentuk hiburan. Saya juga mendapati bahawa mereka juga perlu meminta izin terlebih dahulu untuk menggunakan bahasa tidak formal untuk mereka berkomunikasi dengan lebih selesa. Mengapa kita tidak amalkan penggunaan bahasa kita seperti mereka?Bahasa kita juga setanding dengan bahasa mereka yang mempunyai pelbagai variasi dan ragam bahasa.

Kita tidak nafikan bahawa bahasa Melayu juga mempunyai gelaran dan pangkat-pangkat yang tertentu dalam struktur masyarakat sosial di negara kita. Bahasa Melayu juga setaraf dengan bahasa-bahasa yang lain. Namun, kita sebagai pengguna bahasa kadang-kadang tidak menggunakannya dengan betul dan hanya memandang remeh tentang hal tersebut. Misalnya, penggunaan nama panggilan seperti encik, puan dan cik terhadap orang biasa sangat jarang digunakan. Kita lebih terdedah untuk memanggil orang lain sebagai abang ,kakak ,mak cik dan pak cik. Mengapa kita tidak melazimkan bahasa kita dengan:

“Encik, ikan patin ini sekilo berapa?”
“Puan, harga baju kurung ini berapa?”

[Cuba untuk melazimkan diri dengan perkataan “encik” dan “puan”.]

LATIHAN YANG MEMBUAHKAN HASIL


Assalamualaikum dan selamat sejahtera…

Coretan pada kali ini saya tulis berkisarkan kelas KPD pada hari ini.

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba iaitu hari Jumaat, penghulu segala hari. Kelas KPD hari diadakan seperti biasa dan hari ini juga pengajaran mikro yang pertama dijalankan dengan kehadiran pensyarah kami. Perasaaan berdebar, takut, gelisah menghantui diri tetapi saya cuba menenangkan diri dengan sentiasa berdoa agar semua berjalan lancar. Terfikir juga saya sebelum pergi ke kelas, sekiranya pengajaran selama 5 minit pun sudah berdebar dan takut, bagaimana pula dengan pengajaran selama 30 minit? Semua itu tetap menjadi persoalan di benak fikiran.

Pengajaran mikro dimulakan agak lambat disebabkan masalah-masalah teknikal. Orang pertama sudah berakhir dan tiba giliran saya yang seterusnya. Saya cuba sedaya upaya berlakon seperti seorang guru yang hendak mengajar. Namun, terdapat masalah yang tidak dijangka berlaku iaitu klip video yang hendak saya mainkan tidak seperti sebelumnya. Saya cuba atasinya dengan hanya menanyangkan separuh jalan sahaja daripada keseluruhan video tersebut. Saya meneruskan pengajaran seperti yang telah dirancang. Namun, sekali lagi terdapat perkara yang di luar jangkaan saya berlaku semasa pengajaran mikro tersebut. Walau bagaimanapun, saya dapat mengatasinya dan mengakhirkan pengajaran saya pada hari itu.

Walaupun sudah berakhir untuk pengajaran mikro yang pertama namun saya masih belum berpuas hati dengan persembahan yang saya lakukan pada hari itu. Masih banyak yang saya perlu lakukan untuk menjadikan persembahan pengajaran saya lebih menarik. Walaupun saya akui saya kurang berasa gementar pada hari itu namun latihan yang berterusan seharusnya diamalkan untuk menjadikan diri lebih mantap. Perkara yang paling penting bagi saya jangan malu dan malu itu biar bertempat. Pemikiran kita yang sentiasa berasa takut dan malu sentiasa menghantui diri menyebabkan kita berkelakuan seperti pemikiran kita sendiri. Oleh itu, kita perlu keluar daripada kepompong itu dan sentiasa bersedia untuk melakukan dan menjadikan sesuatu yang terbaik. Satu perkara yang saya belajar pada hari ini adalah latihan dan persediaan yang cukup penting untuk kita melakukan sesuatu dengan lebih baik. Jangan pedulikan pandangan orang yang hanya meremehkan kita dan tidak memberi kritikan yang membina tetapi sentiasa melakukan yang terbaik untuk sesuatu perkara.


[Pandangan dan kritikan yang membina sangat dialu-alukan.]